:
PENGENALAN%20MTAS


Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah ialah sebuah pusat pengajian tahfiz al-quran peringkat menengah berasrama. Ia ditubuhkan dan mula beroperasi pada tahun 2000 dengan bilangan 10 orang pelajar. MTAS berdaftar dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

As-Sa'idiyyah adalah bersempena dengan nama ulama tebilang di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan iaitu Almarhum Sheikh Haji Mohd Sa'id Bin Sheikh Haji Jamaluddin. Ia juga mengambil sempena nama sebuah institusi pendidikan Islam pramerdeka yang dikenali sebagai Madrasah As-Sa'idiyyah yang didirikan oleh anakandanya, seorang ulama tersohor iaitu mufti pertama Negeri Sembilan, Almarhum Sheikh Haji Ahmad Bin Sheikh Haji Mohd Sa'id di Kampung Pondok Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.

Kedua putera beliau iaitu Sahibus Samahah Dato' Haji Mohd Murtadza Bin Sheikh Haji Ahmad (Mantan Mufti Negeri Sembilan) pernah bertindak sebagai Penaung di Pusat Pendidikan As-Sa'idiyyah dan adiknya, Al-Hafiz Ustaz Muhammad Muhsin Bin Sheikh Haji Ahmad pula telah menerajui kepimpinan sebagai Pengetua pertama bagi Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS).

Selain hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu yang berkaitan, MTAS juga melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) untuk subjek-subjek akademik. Untuk Ulum Diniyyah (subjek agama) dan pembangunan sahsiah pelajar, MTAS adalah merupakan ahli gabungan dalam IKRAM-MUSLEH (www.musleh.edu.my) sebuah agensi pendidikan Islam bersepadu dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (www.ikram.org.my).

Tempoh pengajian adalah selama 5 tahun yang melayakkannya menerima Sijil Tahfiz Al-Quran ( 30 Juzuk). Pelajar ini juga berpeluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di tingkatan lima. Kurikulum MTAS adalah gabungan kurikulum (KBSM) Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kurikulum Diniyyah Majlis Guru Besar Sekolah- Sekolah Islam Malaysia (MGBSIM).