Pusat Pendidikan As-Sa'idiyyah adalah lanjutan daripada sebuah sekolah agama rakyat yang ditubuhkan pada tahun 1985. Ia pada mulanya dinamakan sebagai Darul Falah sebelum dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam As-Sa'idiyyah (SRIAS).
Penubuhan SRIAS adalah bagi merealisasikan hasrat sekumpulan ibubapa yang mahukan anak-anak mereka dididik dengan konsep pendidikan Islam yang bersepadu.
Ia bermula hanya dengan sebuah kelas yang mengandungi tidak sampai 10 orang murid dan seorang guru di rumah salah seorang daripada pengasas SRIAS di Golf Height, Seremban.
Pada tahun 1992, selepas beberapa kali berpindah, SRIAS telah membina bangunan sementara diatas sebidang tapak yang disewakan dari Sekolah Agama Rakyat Ampangan, di Gedung Lalang.
Akhirnya pada tahun 1999, selepas 14 tahun ditubuhkan, SRIAS berjaya membina bangunannya sendiri diatas sebidang tanah wakaf di Taman Rashidah Utama, Jalan Senawang-Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Pada tahun 2000, Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS) ditubuhkan.
Bagi memenuhi sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat dan keperluan Akta Pendidikan Swasta 1996, Lembaga Pengelola Sekolah telah bersetuju untuk mendaftarkan sebuah syarikat yang tidak bermotifkan keuntungan (Syarikat Berhad Dengan Jaminan) yang dinamakan Pusat Pendidikan As-Sa'idiyyah Berhad pada 29 September 1999 sebagai pemegang amanah SRIAS dan MTAS.